Tuesday, July 22, 2008

Doa dan Harapan Untuk Kalian Semua



Nurul Fazzuan Bin Khalid
Nor Raimi Rahim
Halimatul Saadiah Mat Akhir
Habibah Bt. Juddin


Kepada rakan-rakan diatas, ucapan tahniah diucapkan kepada kalian kerana terpilih mewakili Universiti dalam Debat Alam Sekitar 2008 di Universiti Malaysia Sabah. Harapan kami semoga kalian semua mampu membawa nama Universiti dipersada IPT. Ingat selalu ungkapan yang sering kita lontarkan, Semoga Pentas Perdana itu milik kita. Walaupun kedudukan kita dikalangan IPT adalah biasa, namun kita semua mampu sekiranya berusaha. Tiada yang mustahil melainkan manusia yang mahu berjaya namun tidak berusaha.


*ini adalah posting terakhir saya sebelum diserahkan kepada moderator baru.

Thursday, July 17, 2008

Debat Alam Sekitar UMS



Kenangan_Saudari Norazlinda Pernah kepentas Perdana Debat Alam Sekitar 2006

Pertandingan Debat Alam Sekitar 2008 pada tahun ini akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 23 hingga 27 Julai 2008 (tertakluk kepada perubahan). Tahun lepas, UIAM telah menjadi Johan manakala UKM di tempat kedua.


Tahun ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara IPT-IPT seluruh Malaysia untuk menjuarai kejohanan berprestij ini. Pastinya semua IPT akan mempamerkan aksi dan persembahan yang mantap untuk dinobatkan sebagai juara (kalau tidak juara pun barangkali cukup sekadar kehadiran mereka diingati di kejohanan kali ini).

Kelebihan pertandingan DAS ialah usul telah pun diberikan lebih awal. Usul-usul adalah seperti berikut:



pusingan 1PEMBANGUNAN MAPAN MENJAMIN KELESTARIAN ALAM SEKITAR

pusingan 2
PENCEMARAN SUNGAI DI MALAYSIA SUDAH TIADA HARAPAN

pusingan 3
DEMI ALAM, KONSEP PENCEMAR BAYAR PERLU DIKUATKUASAKAN

pusingan 4
UNDANG-UNDANG JAWAPAN TERBAIK KEPADA PERMASALAHAN ALAM SEKITAR

pusingan 5
KITAR SEMULA : HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

pusingan 6
PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI MALAYSIA TIDAK TENTU ARAH

peringkat suku akhir
KITA SEPAKAT MENANGANI MASALAH PERUBAHAN IKLIM DUNIA

peringkat separuh akhir
PENGGUNAAN LESTARI SUMBER ASLI MENJAMIN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

peringkat akhir
KITA CUKUP SERIUS MENANGANI ISU ALAM SEKITAR

Jadi kepada pendebat dari UPSI, hanya segenggem doa yang kami hulurkan. Moga success dan maju jaya. Pastikan "sesuatu" untuk kita.

Wednesday, July 9, 2008

SEMUA PENDEBAT : LENGKAPKAN DIRI DENGAN PENGETAHUAN!!!

Sesuatu yang jarang dikuasai oleh pendebat masakini ialah menghargai kepentingan ilmu dan maklumat secara menyeluruh dan terkini. Kita mempunyai ramai pendebat yang hebat gayanya, garang suaranya, menarik telatah kelakarnya, puitis bahasanya, tajam bidasannya.. tetapi amat menyedihkan apabila segala hujjah dan fakta sokongan teramat lemah dan melencong. Jarang benar kita melihat pendebat-pendebat yang dapat menguasai sesuatu isu dengan jelas dan terarah. Dengan sebab itu tidak hairanlah, ramai dari kalangan kita sentiasa bergantung kepada aset humor dan suara yang nyaring (sehingga terkadang terputus putus suaranya sewaktu berhujah) untuk memikat panel hakim. Pendebat-pendebat yang kelihatan hebat pada zaman ini jauh dari memiliki disiplin ilmu dan jujur di atas fakta yang dihuraikan. Tidak sukar untuk kita melihat pendebat-pendebat yang cuba menipu fakta, yang disusunatur dengan penuh perancangan untuk memukau galeri penonton. Terkadang mereka sengaja menggunakan sumber otoriti yang palsu, tidak wujud malah tidak relevan. Terkadang mereka akan mempertahankan hujah picisan yang jauh dari pengesahan umum ke atas sesuatu tajuk. Dengan suara yang lantang, mereka akan mengherdik lawan semata-mata untuk mempertahankan hujah songsang, yang tidak benar dan tidak berasas.

Tetapi dalam dunia debat sekarang ini, kelemahan pendebat sebegini jarang dapat dikesan oleh penonton, jurulatih, pegawai pengiring, bahkan hakim-hakim juga turut sama tertipu dengan pendebat berpengalaman seperti ini. Segala kelamahan ini diakari oleh sikap kita sendiri yang enggan menguasai ilmu. Kita terlalu liat untuk menunjangi kejujuran dalam membahaskan sesuatu fakta berasaskan ilmu. Oleh kerana kita – pendebat, penonton, jurulatih, pegawai universiti dan hakim, juga malas membaca, maka senanglah kita bersetuju dengan hujah dan retorik kosong sesetengah pendebat. Retorik seperti ini akan mudah subur dalam kepompong masyarakat yang semuanya malas membaca. Usahlah kita harapkan kualiti perdebatan, sekiranya kita enggan jujur kepada sesuatu pengetahuan yang sepatutnya kita kuasai.

Hakikatnya, jika kita berhajat menjadikan debat sebagai satu medan sukan intelek untuk melahirkan mahasiswa yang kritis dan berkualiti, tentunya usaha ini tidak hanya bergantung kepada pendebat semata-mata. Jurulatih dan pegawai universiti hendaklah bersungguh-sungguh menyuburkan budaya ilmu dalam persatuan atau kelab-kelab debat universiti masing-masing. Para hakim pula tidak terkecuali. Hakim yang jahil ke atas sesuatu isu yang dibahaskan akan hanya mengesahkan pembohongan fakta yang dilakukan oleh pendebat. Pengesahan fakta yang tidak benar, oleh hakim, tentunya akan mengundang implikasi negatif terhadap kesuburan minda pendebat, apatah lagi jika pasukan yang lemah hujahan faktanya dinobatkan sebagai Juara. Melalui tulisan ini, ada baiknya saya menyeru kepada semua kita, lebih-lebih lagi para pendebat dan para hakim, supaya kita sama-sama belajar menghargai kepentingan pengetahuan dan maklumat semasa. Di kala semua orang berharap kualiti perdebatan meningkat dari masa ke semasa, tetapi sikap dan tindakan kita hanya mempertahankan status quo sahaja. Malang sekali, dunia perdebatan kita melihat daya “bujukan” debat ala parlimen sebagai bujukan yang sifatnya songsang. Kita melihat “bujukan” kepada pendebat yang menarik minat kita dari segi gaya, intonasi dan suara, serta humor yang dilontarkan secara sinikal kepada lawan. Jarang sekali “bujukan” itu kita sandarkan kepada kekuatan fakta dan minda yang mempertahankan fakta yang tepat lagi benar.

Kekesalan yang paling aula dalam dunia debat kini, ialah kurangnya penghargaan kepada kekuasaan ilmu. Pendebat-pendebat yang menonjol dalam sesuatu pertandingan, seringkali kelihatan tercungap-cungap mempertahankan fakta. Pengetahuan mereka ke atas sesuatu isu terlalu lemah. Para pendebat kita pada kebanyakannya, hanya berminat dengan isu-isu domestik yang bersifat kulit semata-mata. Apabila anda memberikan sesuatu usul yang umum, jarang benar perbahasan ke atas isu yang bersifat antarabangsa, atau pengetahuan spesifik ke atas sesuatu cabang ilmu, dibahaskan oleh pendebat. Dalam debat intergriti, ramai pendebat tidak dapat membezakan antara rasuah dan pecah amanah. Dalam isu yang bersangkutan dengan prinsip undang-undang yang umum, ramai pendebat yang mengambil contoh-contoh kes yang sedang dibicarakan untuk membuat kesimpulan bahwa sipolan bin sipolan adalah perasuah dan tidak mempunyai intergriti. Adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa Tan Sri Kasitah Gaddam sebagai seorang perasuah, kerana beliau masih belum disabitkan dengan kesalahan itu. Adalah tidak wajar untuk menyatakan Tan Sri Eric Chia sebagai pecah amanah, kerana Eric Chia masih belum terbukti bersalah. Tidak ramai dari kalangan kita yang menghargai prinsip keadilan sejagat bahawa “A man is innocent until proven guilty”. Hakikatnya, kita membiarkan minda kita memetik contoh-contoh sebegini kerana ianya adalah kes sensasi. Maka dengan mudahnya kita terlupa bahawa kedua-dua mereka masih dalam proses perbicaraan. Saya sengaja memilih contoh-contoh yang mudah sebegini, untuk memperlihatkan kecenderungan kita dalam mengambil contoh-contoh yang tidak berkait untuk menyokong hujah bahawa orang itu, insan ini tidak mempunyai intergriti!

Hakikatnya, sebagai pendebat, penghargaan kepada ilmu pengetahuan adalah merupakan sesuatu yang bersifat tunjang. Pendebat tidak mempunyai pilihan lain. Untuk berjaya menjadi seorang pendebat berwibawa, disiplin ilmu hendaklah dikuasai dengan jujurnya. Kalau pun kita mempunyai puluhan pasukan pencari fakta, untuk membantu kita di ambang perlawanan, ia tidak akan menyumbang apa-apa. Kita boleh muncul sebagai pemenang, johan tetapi semua itu akan menjadikan kita sebagai harimau kertas, yang gagal mengambil peluang dunia perdebatan ini untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan yang sewajarnya.

Oleh itu, saya ingin menyatakan, bahawa permulaan kepada pembinaan legasi debat yang gemilang, adalah bermula dari “pembacaan”. Membacalah, sebagaimana yang difirmankan Tuhan dalam Surah al-Iqra’, untuk meluaskan pengetahuan dan membina daya fikir yang lebih kritis dan kreatif ke atas sesuatu isu. Mulakanlah pembacaan dengan membaca rencana-rencana penting yang berada di dada akhbar harian kita seperti Utusan Melayu, Berita Harian, The Star mahupun News Straits Times. Pembacaan mestilah dilakukan setiap hari, pada setiap masa. Pembacaan tidak boleh dilakukan secara bermusim. Ia hendaklah berterusan dari hari ke hari, walau pun pada musim tiada pertandingan debat, atau kita tidak terpilih mewakili universiti kita dalam pertandingan debat. Tanamkanlah minat dalam diri kita tentang betapa pentingnya kita mengetahui semua perkara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa. Jika kita mempunyai lebihan wang, usahlah kita bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Marilah kita belajar “melabur”kan sedikit wang bulanan itu untuk membeli satu dua buku yang berpatutan, berkait dengan isu-isu semasa, nasional sifatnya mahupun antarabangsa. Di kedai-kedai buku yang berada di universiti-universiti anda, atau di pekan-pekan berhampiran, sudah tentu anda akan dapat melihat banyak buku-buku yang akan menarik minat anda. Mulakanlah tabiat mengunjungi kedai-kedai untuk melihat koleksi buku-buku atau buku-buku terkini yang berada di pasaran. Sebagai seorang pendebat, perasaan ingin menjadi orang pertama yang membaca sesuatu buku yang baru dipasaran hendaklah ditanam dengan sebaiknya. Ia adalaf sifat yang baik dan wajar diamalkan. Bagi pendebat yang berada di sekitar Kuala Lumpur, saya mencadangkan untuk mengunjungi Pekan Buku Universiti Malaya mahupun Kinokuniya di KLCC. Berada di kedua-kedua kedai buku ini akan menyebabkan sesiapa yang cintakan pengetahuan akan rasa teruja untuk menguasai keseluruhan ilmu yang telah dicetak melalui buku-buku terbabit.

Saya fikir kita semua boleh bersetuju bahawa kekuatan seseorang pendebat yang hebat adalah kepaya kreativiti pemikirannya dalam mengupas, menilai dan mengadaptasi sesuatu contoh untuk menyokong premis pasukan. Begitu juga halnya apabila kita membidas hujah lawan. Kreativiti untuk memusingkan fakta lawan secara intelek amat diperlukan dalam sukan ilmiah seperti debat. Sudah tentu, kreativiti tidak akan datang kepada anda secara bergolek. Kreativiti adalah satu angerah Tuhan yang paling suci kepada akal hambanya. Tetapi Tuhan tidak akan menghadirkan anugerah ini tanpa usaha. Sedar atau tidak, kreativiti akan hanya muncul setelah kita “matang” menguasai sesuatu perkara. Kreativiti dalam skil permainan bola sepak, bola jaring, badminton dan sebagai akan hanya lahir setelah berbulan-bulan kita berlatih, dan seni itu berjaya kita kuasai. Dalam konteks kreativiti yang terhasil dari kotak ilmu, ia tidak akan lahir dari seorang yang jahil pengetahuannya, malas membaca, dan cenderung untuk mengharapan suapan dari anggota simpanan. Hanya orang-orang yang “matang”, “masak” ke atas sesuatu isu sahaja, yang tahu meletakkan sesuatu isu sebagai sebuah contoh atau fakta yang relevan, atau boleh diperlihatkan sebagai relevan dan menyokong hujah yang sedang diutarakan. Begitu juga dalam kontek bidasan, penguasaan maklumat yang tinggi akan membolehkan kita menggerak daya fikir spontan untuk meratah fakta lawan. Hakikatnya, kreativiti dan pemikiran kritis tidak akan muncul selagi kita hanya menggunakan medan debat sebagai medan mencari populariti, atau medan untuk melancong percuma, atau tempat cari wang saku mahupun mencari kawan-kawan se“khunsa musykil”, untuk berseronok-seronok dalam kehidupan yang tidak berfaedah dan bercanggah dengan agama. Setiap pendebat mesti mempunyai disiplin ilmu yang tinggi dan kejujuran ke atas ilmunya. Jangan lagi kita pertahankan hujah-hujah picisan yang memalukan, walau pun dalam bentuk humor. Humor yang berasaskan fakta dangkal akan hanya melambangkan ketohoran pemikiran kita. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat debat.

Dalam konteks mengayakan ilmu pengetahuan, setiap individu mempunyai cara yang berbeza. Ada yang gemar membacar artikel-artikel dalam surat khabar, membeli buku-buku atau meminjamnya, berbincang sesama rakan dan perdebatan intelek ke atas sesuatu peristiwa, mahupun kajian ilmiah secara pasukan mahupun sendirian. Sesetengah orang mencari ilmu dan pengetahuan dengan melancong dan melawati sesuatu tempat untuk menimbulkan minat untuk mengetahui, dan belajar dari situ. Dalam apa keadaan pun, yang paling penting, usaha pembacaan dan pembelajaran ini mesti konsisten dan berterusan. Teruskanlah pembacaan apa juga bahan bercetak setiap kali mempunyai masa yang terluang. Saya tidak percaya anda tidak mempunyai masa kerana kononnya terpaksa mengulangkaji pelajaran. Alasan ini adalah satu pembohongan kepada diri sendiri. Cuba renungkan masa anda dalam satu, berapa jam masa yang anda gunakan untuk mentelaah buku-buku pelajaran atau menghadiri kuliyyah? Berapa jam lagi yang anda gunakan untuk bersembang, bersolek, lepak, minum kopi, keluar untuk “window shopping” dan lain-lain?

Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada adik-adik pendebat, bahawa jangan anda mengharapkan anda yang muncul sebagai Johan Debat, setelah banyak membaca. Tidak semestinya kita yang banyak membaca akan semestinya menang! Ini resam kehidupan yang perlu difahami. Sesetengah orang yang banyak membaca pada awalnya akan rasa kecewa dan putus harap serta berhenti dari membaca setelah tewas dalam pertandingan debat, atau tidak pun terpilih mewakili pasukan universiti mereka. Anggaplah debat sebagai instrumen untuk memujuk kita supaya banyak membaca dan bukannya sebagai matlamat akhir. Dalam apa keadaan pun, insan-insan yang banyak membaca, yang tinggi disiplin ilmunya, akan sentiasa ke hadapan dalam semua lapangan. Jangan pula kita cemburu apabila melihat rakan-rakan kita yang malas membaca, yang jahil atas apa-apa pengetahuan sentiasa menjuarai pertandingan, kerana dunia perdebatan kita masih dihuni oleh majoriti pendokongnya yang malas membaca, dan tidak mempunyai kejujuran ke atas disiplin ilmu. Biarkan siluncai terjun dengan labu-labunya. Tetapi kita mesti mulakan budaya ilmu untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Artikel diambil dari blog akademi debat karya penulisan : Wan Rohimi Bin Wan Daud